BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

~WELC0ME T0 MY LIFE~

~ in this field i write all sincerely fr0m my heart!~
____________F0r My Lurve____________

Tuesday, April 6, 2010

My Lurve~Din Beramb0i

pemergian mu meninggalkan kesan yg mendalam~
  • murai.com
Setelah hampir sejam bertarung nyawa, pelawak dan penyampai radio Era FM, Din Beramboi telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi. Allahyarham Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, sebelum ini dimasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang kerana disyaki menghidap kejutan denggi berdarah pada 29 Mac 2010. Pemergian arwah telah disahkan oleh adik iparnya, Shariffudin Che Man, 37, yang mengumumkan kematian arwah sejurus selepas beliau keluar dari wad ICU. Turut berada disamping arwah ketika pemergiannya ialah ahli keluarga serta tiga orang rakan artis iaitu Azwan Ali, Zul Yahya dan Ifa Raziah. Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga isterinya, di Taman Ehsan, Kepong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Taman Ehsan bersempadan dengan kawasan Frim sebelum solat Jumaat, manakala Solat Jenazah pula akan dilakukan di Masjid Al-Faizin Taman Ehsan pada jam 11 pagi ini. Allahyarham meninggalkan seorang balu Suhaini Che Man dan 3 orang anak Nil Aina Adiba,18, Mior Syafiq Aridhuan,12 dan Nir Ain Syuhada, 6. Warga murai.com.my mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Terkini tentang berita kematian Allahyarham Din Beramboi. Pelawak dan Penyampai radio Era kesayangan ramai ini sudah pun selamat disemadikan Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Taman Ehsan, Kepong kira-kira jam 11 pagi tadi.
Terdahulu jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga isterinya, di Taman Ehsan, Kepong sebelum Solat Jenazah disempurnakan di Masjid Al-Faizin di kawasan yang berhampiran kira-kira jam 10 pagi tadi. Allahyarham Din Beramboi telah menghembuskan nafas terakhirnya di Wad ICU, Hospital Selayang, kira-kira jam 12.30 malam tadi selepas sejam bertarung nyawa akibat penyakit kejutan denggi berdarah yang dihidapinya pada 29 Mac 2010 yang lalu. Pemergian arwah telah disahkan oleh adik iparnya, Shariffudin Che Man, 37, yang mengumumkan kematian arwah sejurus selepas beliau keluar dari wad ICU. Turut berada disamping arwah ketika pemergiannya ialah ahli keluarga serta tiga orang rakan artis iaitu Azwan Ali, Zul Yahya dan Ifa Raziah. Ramai rakan artis serta selebiri yang telah memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham. Antara yang hadir adalah Aznil Hj Nawawi, Rosyam Nor, Afdlin Shauki, Zaibo, Zizan, Nabil, Faizal Tahir, Bunkface, Mawi Ekin, Sharifah Shahirah dan Ijoy Azahari, Shuib & Mamat Sepah, Sarah Raisuddin, Hairi Anak Wayang, Alex RL4, Caca RL4, Angah RL, dan Man Belon RL2.

  • Din janji amik anugerah sama-sama
Pemergian pelawak dan penyampai radio, Din Beramboi yang meninggal dunia akibat diserang penyakit sindrom kejutan denggi di Wad ICU, Hospital Selayang pada jam 12.30 tengah lama tadi ternyata cukup dirasai kita semua. Tidak ada siapa pun yang akan menafikan bakat dan kehebatannya sebagai seorang anak seni yang cukup unik dan serba-boleh. Lawaknya, tawanya, gelagatnya, sikap gila-gilanya yang spontan, mencuit hati serta bersahaja itu pastinya akan membuatkan kita rindu padanya. Hanya akan ada seorang saja Din Beramboi yang terpahat dalam jiwa kita semua. Namun, Allahyarham Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, telah pun selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Legong Taman Ehsan, Kepong kira-kira jam 11 pagi tadi. Hampir beratus-ratus pengunjung yang sebahagiannya terdiri daripada peminat dan rakan seperjuangan telah datang untuk memberikan penghormatan yang terakhir buat anak seni yang sentiasa tak pernah sunyi daripada mewarnai hidup kita menerusi celotehnya yang tak henti-henti di segmen Riuh Pagi Era bersama Aznil Hj Nawawi. Ironinya, jika sebelum ini dia sering menceriakan hidup kita dengan lawak jenaka dan gurau sendanya akhirnya kita sendiri yang tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan telah menangisi pemergian arwah yang telah sekian lama berjuang dalam industri hiburan tempatan ini. Selain keluarga dan sanak saudara terdekat, orang yang paling tidak dapat menahan hiba terhadap pemergian arwah Din pastinya adalah Aznil sendiri yang merupakan rakan sembangnya di segmen Riuh Pagi Era. Apakan tidak hampir setiap hari, Aznil akan menghabiskan masa dengan Din selama 8 jam kecuali Sabtu dan Ahad. Ternyata sebaik saja mendapat tahu bahawa arwah Din sudah tiada, Aznil mengakui bahawa jantungnya hampir gugur buat seketika. Hingga saat ini pun, sukar untuk dia mempercayai hakikat itu. Kata Aznil, terlalu banyak sebenarnya pengalaman pahit manis yang dilaluinya bersama Allahyarham sekiranya dia mengimbas semula zaman sebelum waktu dia mula digandingkan dengan arwah Din di segmen Riuh Pagi Era sejak awal tahun lalu. "Sebelum menyertai Era arwah telah menceburi macam-macam bidang. Saya tahu banyak perkara tentang arwah, mahupun tentang susah senang beliau. Pada waktu sebelum beliau menyertai Era, saya tahu beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap dan pernah membuat kuih. "Apabila ditawarkan berkhidmat di Era, beliau pernah bertanyakan kepada saya, Nil engkau nak kerja dengan aku tak di segmen pagi? Saya cakap kat arwah, tak boleh sebab aku tak boleh bangun pagi la Din. Dan dia balas balik, habis tu aku nak kerja dengan siapa, jom la Nil kita buat bagus-bagus. Nanti dapat anugerah kita naik sama-sama. "Selepas saya menawarkan diri untuk digandingkan bersamanya, saya panggil dia pelawak kedai kopi. Selepas setahun lebih kami ke udara, lawak beliau semakin diterima ramai dan kini beliau berada di kemuncak sehinggalah tercalon sebagai salah seorang calon Top 5 bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular di ABPBH2009 tahun ini. Saya rasa dialah yang paling layak terima anugerah itu. "Masa kerja pula, selalunya beliau akan sampai dulu daripada saya. Padahal dia duduk lebih jauh. Beliau juga banyak mendahului kami dari segenap segi. Beliau cepat mengenali apa yang orang suka ataupun tidak. Contohnya, bila dia tahu saya suka kuih ni, keesokan harinya dia bawak kuih itu satu dulang. "Penyampai radio Adi Fashla pernah pinjam gitarnya dan bila dia tahu Adi suka sangat dengan gitar itu, dia pun terus bagi gitar itu pada Adi," kata Aznil sebak. Aznil dan Din Beramboi buat pertama kali tercalon dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular bersama-sama tiga penyampai radio yang lain iaitu AG, Faizal Ismail dan Kieran. Menurut Aznil lagi, Din seorang yang sering melawak tanpa mengira tempat dan waktu sehinggakan orang tidak nampak beliau sedang sakit ataupun susah. "Otak dia hanya fikir nak buat orang ketawa saja. Saya juga ada cakap kat dia, Din kau ni takde masalah ke? Nak tahu dia jawab apa? Dia cakap: " kalau engkau bersedih dan menangis sekalipun boleh selesai masalah ke?. "Masa dia tengah sakit pun orang tidak tahu. Dia berpura-pura sihat. Apa yang saya nampak kalau dia batuk memang teruk, tetapi masih tak mahu jumpa doktor dan dia jenis tak suka makan ubat. Badan besar tetapi takut nak pergi hospital. Sampai isterinya pulak yang terpaksa panggil ambulans," katanya. Aznil yang kini sedang bercuti daripada segmen Riuh Pagi Era selama seminggu bermula semalam, masih tidak mengetahui apakah keputusan terbaru tentang segmen itu di masa hadapan. Bagaimanapun Pengurus Rancangan Era FM, Nazri Noran menjelaskan segmen itu masih lagi dikekalkan dan buat masa ini Dina, Along Cham dan Jimmy Shanley akan keudara bagi menggantikan tempat Aznil selama tempoh beliau bercuti.
  • Luahan dalam bl0g pak nil,,
Hari ini adalah hari yang paling dinantikan oleh Allahyarham Meor Ahmad Fuad Meor Badri aka Din Beramboi. Malam ini bakal berlansung Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Paknil dapat lihat keterujaan Din Beramboi sejak namanya melekat sebagai finalis bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular.
Din kata:
“Aku nak rasa macam mana engkau rasa Nil selama ini duduk bersama calon-calon lain dekat tempat duduk orang top-top” Alahai, sebak Paknil bila teringatkan impian Din. Masa Din berlawak waktu commercial break tahun lalu Paknil sedih sangat sebab dia jadi penghibur tatkala siaran langsung berihat untuk iklan. Paknil cakap dengan dia, “Cukup-cukuplah buat keje tu Din. Tahun depan aku nak kau pulak tengok orang lain buat keje tu” Betul pun. Termakbul doa kami apabila Din tersenarai bersama Paknil, AG, Kieran dan Faizal. Tapi malam ini dia tengok dari jauh rupanya.
Din kata:
“Aku nak pakai baju ala-ala konvokesyen malam tu nanti. Aku pedulik haper! Yang penting aku nak orang jerit kat aku masa red karpet” Memang Paknil nantikan saat ini sebab Paknil percaya si Din ni akan buat apa sahaja untuk kasi orang ketawa dan terhibur. Dia pernah buat persembahan kat Melaka masa Jelajah Era buat perkara yang sehingga seluruh penonton dan kami ternganga dan ketawa tak hengat. Rupanya dia dah pakat dengan Shuib Sepah untuk menarik seluar pakaian cinanya ketika kitorang buat catwalk pakaian terbaik. Dia sanggup malukan dirinya yang kelihatan seolah terkejut bila seluarnya dilondehkan dan hanya tinggal seluar pendek di dalam. Sampai macam tu dia nak buat orang ketawa. Din kata:
“Kalau kau menang Nil, aku nak naik pentas jugak. Masa kau bagi ucapan, aku pose sebelah kau sebab nak tunggu giliran aku entah bila” Alahai Din. Kenapa kau tinggalkan aku kata-kata yang boleh buat aku tersentak macam ni? Kau tahu tak Din yang aku tak fikir langsung nak menang dah sekarang ni. Aku cuma teruja nak tengok perangai engkau aje. Paknil dah boleh bayangkan keriuhan dia yang boleh buat lawak sengal dia sorang-sorang ketika majlis. Dia seronok tengok calon-calon gila-gila lain terlibat sama sebagai finalis seperti Didie Alias dan Enot sebab Paknil dah jangka mesti ada sesuatu dia akan bawak pakat dengan diorang malam itu nanti. Dalam keriuhan tepuk sorak malam ini, Paknil akan rasa sunyi.
Din kata:
“Aku malam ABP nanti akan ikut bontot kau kemana kau pegi orang mesti ambik gambar kau untuk suratkhabar. Ada aku kesah!” Pening jugak layan si Din yang main redah aje ni. Tak akan ada siapa yang boleh marah dengan tindakan dia sebab semua sudah akur dengan sikap ‘belasah aje’ dia tu! Semua orang seolah menunggu Din buat sesuatu yang ‘luarbiasa’ sebab kalau dia bersikap seperti orang lain, maka itu bukan Din Beramboi dan mungkin ramai yang rasa pelik. Sekarang Din tak payah ikut 'bontot' Paknil sebab mana Paknil pergi pun ada dia dalam hati Paknil.
Kini semua tinggal kenangan.
Paknil boleh bayangkan aje benda yang dia cakapkan itu pada ketika berlangsungnya ABP malam nanti. Jika ada di antara kawan arwah yang tidak mahu menyertai ABP malam ini sebab hormatkan arwah, itu hak mereka. Paknil tetap akan pergi, InsyaAllah. Menang atau kalah. Kali ini Paknil pergi pun sebab dia. Paknil nak bawa bersama Paknil semangat Din Beramboi. Paknil nak orang semua rasa kehadirannya di situ malam ini walaupun Din sudah tiada. InsyaAllah Paknil akan bawa anak sulong Din bersama Paknil malam ini. Paknil nak dia tahu yang Papa dia teringin sangat berada di situ malam ini dan menghargai kerja Papa dia selama ini. Paknil nak dia tahu jugak yang Papa dia sebenarnya disayangi jutaan peminat dan kerja gila Papa dia terbayar malam ini. Buat Din, “Aku rindu kat kau, rindu sangat”. Al-Fatihah.
  • luahan dalam b0rak pak nil
~Ubat saya sudah pergi

ASSALAMUALAIKUM! Paknil yakin pasti ramai tahu apa yang ingin Paknil borakkan dalam ruangan minggu ini kalau bukan cerita mengenai Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi.

Paknil percaya ramai rakyat Malaysia merasa kehilangan pelawak serba hebat dan penyampai radio yang ligat setiap pagi bersama Paknil di Riuh Pagi Era.


Kita akan merindui lawak merapu dan gila-gilanya sebab bagi Paknil, Din seorang saja yang boleh melakukan itu.


Setiap pagi Isnin hingga Jumaat, Paknil pasti berderai tawa terbahak-bahak sebab Din Beramboi membuat lawak yang terbit secara spontan dan luhur dari hatinya.


Bila itu terjadi, Din Beramboi akan berlawak dengan gaya sekali sedangkan kami hanya di radio! Siapa yang nampak gerak gaya Din bila lawaknya ke udara, tetapi itulah Din Beramboi. Dia memang bersungguh-sungguh bila melakukan kerja yang digemarinya.

Din, siap nak bawa sarapan?

Din sering bertanya sama ada Paknil akan berpuasa pada keesokan harinya kerana dia sentiasa nak bawa sarapan pagi untuk Paknil. Bila Paknil tak puasa, pasti ada satu bekas penuh kuih lopes yang dibawanya dari rumah.


Dia cakap, orang tua macam Paknil memang suka makan kuih ‘old school’! Dia kata orang muda macam dia cuma makan sandwich dan chicken pie!

Paknil sering usik Din dengan perkataan ‘Cur Cur Mak’. Kalau nak tahu, sebelum masuk konti radio awal pagi, selalunya Din kata, dia tak mahu sarapan sangat sebab nak diet tapi Paknil kata: “Sudahlah! Mesti dah Cur Cur Mak sebelum ini.”

Din sebenarnya mesti singgah di kedai mamak berdekatan Astro sebelum mulakan pagi untuk makan. Cur Cur Mak tu maknanya Curi Curi Makan!

Din, kenapa biar aku buat kerja seorang sekarang?

Pernah ada satu ketika Din terlewat ke konti radio sebab terlewat bangun. Bayangkan dia pecut kereta dari rumahnya di Rawang ke Astro dan sempat juga mendengar Paknil ke udara seorang diri di Riuh Pagi Era.

Sampai di studio, dia tahu Paknil bengang ketika itu tapi dia cakap dia sedih bila dengar Paknil kerja ‘sorang’ sebab dia kata macam tak meriah di udara. Jadi dia minta maaf sangat sebab terlewat dan berjanji untuk tidak lewat lagi selepas itu.


Sememangnya Din tidak pernah lewat lagi, malah kerap pula dia tiba lebih awal daripada Paknil.


Din, sekarang kau dah tak ada. Kalau kau dengar aku sorang-sorang di radio mungkin dah tak meriah kan? Aku pun tak tahu sama ada aku nak teruskan atau tidak kerja ini.


Bayangan kau terlalu kuat di sebelah aku, jadi aku rasa seperti tidak akan dapat bangun seperti dulu lagi!

Din, pilih tempatlah untuk melawak!

Sebagai abang, Paknil pernah juga menegur perangai Din yang suka melawak tidak bertempat. Pernah ketika Paknil mengendalikan segmen Merisik Khabar, Paknil tersentuh dengan cerita pemanggil sehingga menitiskan air mata.


Din yang ada di depan Paknil ketika itu ketawa melihat Paknil yang tersedu-sedu. Hangat juga hati ketika itu apabila Din cuba membuat lawak, sedangkan kami berbual mengenai sesuatu yang menyayat hati.

Paknil tegur dia: “Din, kau boleh tak pilih masa dan tempat untuk berlawak?” Jawapan Din benar-benar menginsafkan Paknil. Katanya: “Kalau menangis boleh selesaikan masalah orang itu, dia pun akan menangis sekali. Muka sedih dan menangis bukan boleh selesaikan masalah.”

Din memang ingin jadi ubat kepada wajah sedih orang. Dia nak orang senyum gembira saja. Dia memang akan memanggil Paknil sebagai orang yang cengeng dan sebab itu dalam Raja Lawak ada ketika dia tegur Bob Lokman yang berair mata ketawa sama seperti buruknya Paknil menangis.


Sekarang dia pasti nampak betapa buruknya muka Paknil menangisi pemergiannya.

Din, kau nak cuti panjang kan?

Sememang Paknil kena ambil cuti panjang dalam minggu ini untuk menyempurnakan rakaman Jangan Lupa Lirik. Din Beramboi adalah orang yang sangat suka bila Paknil minta cuti daripada Era kerana dia tahu kalau Paknil cuti, dia pasti cuti juga.


Dia cakap: “Aku untung tak payah pergi mengadap minta cuti sebab kau yang pergi mengadap. Bila kau cuti, aku pun cuti jugak.”

Paling akan Paknil ingat apabila Din akan ‘countdown’ kiraan hari menjelang tarikh kami bercuti setiap hari tanpa gagal. Sekarang kau pula yang cuti panjang.

Din Mr Sengal?

Din suka juga bagi gelaran pada kami di Era. Macam-macam nama yang dia cipta untuk orang yang dia usik.


Penerbit Riuh Pagi Era, Azizan dipanggilnya KURUS atau kadangkala dipanggil KURSUS. Ada yang digelar Ciputlah, Bruce Leelah, Dharmalah, Pen Drivelah dan macam-macam lagi.


Gelaran itu semua muncul secara spontan dan Din juga biasanya memanggil orang itu secara depan-depan. Mereka yang dipanggil itu pula tidak ambil hati kerana faham sangat perangainya.


Tiba-tiba masa Paknil bekerja sendiri ketika Din tenat, Paknil terima panggilan daripada pendengar Era yang menggelarkan Din sebagai Mr Sengal.


Katanya: “Bangunlah Mr Sengal ku. Pagi ku tidak sama lagi tanpa kehadiran Mr Sengal yang selalu buat lawak sengal! Bangunlah please…!” Kini Mr Sengal dah jadi Mr Senyap.

Suka hantar SMS yang mengarut

Paknil memang tidak suka ber‘SMS’ dengan Din sebab dia suka hantar SMS yang entah apa-apa. Pernah Paknil hantar SMS kepada Din tanya kenapa dia nak Alex Raja Lawak gantikan dia bila dia tidak ada di Era lagi? Din jawab: “Sebab dia tak tahu nak komen apa untuk Alex yang memang best!”

Baru-baru ini masa dia sakit, Paknil ada hantar SMS pada Din. Paknil cakap: “Din, cepatlah baik demam. Tak bestlah buat kerja sorang-sorang.”

Nak tahu apa yang Din jawab pada Paknil?

“Bukan sakit tapi rasa nak mati. Semua dah rasa kebas. Tu tanda-tanda nak mati lah.”

Din, aku rindukan engkau

Mungkin ini tidak pernah Paknil ucapkan pada Din sebab memang tak pernah rindukan dia, tapi kini setelah Din tiada, baru Paknil seperti terdengar bunyi ketawanya, bunyi batuknya, bunyi dengkurnya (kadangkala dia terlelap juga dalam konti... hehehe).


Paknil pun tak tahu apa makna Riuh Pagi di Era lagi sebab Paknil tidak pasti sama ada akan adakah lagi riuh itu apabila Din sudah tiada. Paknil tidak akan mampu menjalani tugas di konti sebab di setiap sudut Paknil akan terbayang kehadiran Din Beramboi.


Din, kau pergi tanpa beri amaran. Habis senyum dan tawa aku kau bawa sekali. Kini aku masih mencari orang yang boleh kembalikan senyum dan ketawa itu. I MISS YOU MY BRO!

Wassalam.



0 comments: